Sunday 31 July 2011

Puasa

Written by nucz   
Saturday, 29 August 2009 21:48
Apakah hukumnya bagi orang yang kelaparan di siang hari ramadhan sehingga boleh menyebabkan kematian atau sakit kuat sekiranya dia meneruskan puasa?
Dibolehkan ke atasnya berbuka ketika itu (ketika sangat lapar atau dahaga yang boleh menyebabkan kematian atau penyakit yang merbahaya) dan wajib menggantikan hari tersebut pada hari yang lain. Ini kerana Islam tidak menuntut melakukan sesuatu ibadat yang tidak mampu dilakukan oleh seorang muslim. Firman Allah s.w.t di dalam surah al-Baqarah (195): "dan janganlah kamu mencampakkan dirimu ke dalam kehancuran".
?
Apakah hukum puasa orang yang bermusafir?
Orang yang bermusafir boleh berbuka puasa ketika safarnya dengan dua syarat:
1) Permusafirannya itu melebihi jarak safar qasar (iaitu dua marhalah atau 80 km)
2) Meninggalkan I'mran al-Balad (atau kawasan kampong halamannya atau Bandar yang dihuni) sebelum waktu fajar.
Sekiranya dua syarat ini terpenuhi, maka seseorang itu boleh berbuka ketika safarnya di bulan Ramadhan sebagai saturukhsah (keringanan) yang diberikan oleh syarak.
Akan tetapi, adalah puasanya ketika itu lebih afdhal atau berbuka lebih afdhal? Terdapat dua keadaan yang berbeza bagi menjawab persoalan ini:
1-Sekiranya puasa yang dilakukan memberikan mudharat kepada dirinya ketika permusafiran, maka lebih afdhal baginya berbuka puasa. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Jabir Bin Abdullah r.a. bahawa ketika Rasulullah s.a.w di permusafiran, beliau melihat manusia berkerumun dan seorang pemuda diteduhi (kerana kepanasan dan penat). Rasulullah s.a.w pun bertanya: mengapa pemuda ini? Mereka menjawab: Dia sedang berpuasa. Maka Rasulullah s.a.w bersabda: Bukanlah dari ketaatan berpuasa di permusafiran". [hadis riwayat Imam Bukhari]
2- Akan tetapi sekiranya puasanya ketika permusafiran tidak memberikan kemudharatan pada dirinya, maka lebih afdhal dia berpuasa. Ini berdasarkan firman Allah s.w.t di dalam surah al-Baqarah (184): " dan sekiranya kamu berpuasa maka lebih baik untuk diri kamu sekiranya kamu mengetahui".
Apakah yang perlu dilakukan oleh seorang perempuan yang menyusukan anak atau mengandung ketika bulan Ramadhan?
Sekiranya perempuan tersebut takut puasanya itu akan memberi kemudharatan ke atas dirinya, maka dia boleh berbuka dengan syarat melakukan perkara berikut:
1-menggantikan puasa yang ditinggalkan tersebut pada hari yang lain.
Akan tetapi sekiranya perempuan tersebut takut puasanya itu akan memberi kemudharatan kepada anaknya (yang disusukan atau yang dikandung), maka dibolehkan baginya berbuka dengan syarat melakukan perkara berikut:
1- Menggantikan puasa bagi setiap hari yang ditinggalkan.
2- Dia hendaklah memberi sedekah secupak makanan (bayar fidyah sekitar 600 gram) kepada faqir miskin.
?
Bagaimanakan menentukan permulaan ramadhan?
Penentuan ramadhan adalah dengan melihat anak bulan (Rukyah al-Hilal). Sekiranya langit menjadi mendung (atau terhalang pandangan dari melihat anak bulan) maka permulaan ramadhan ditentukan dengan cara yang kedua iaitu dengan melengkapkan bilangan bulan Sya'ban menjadi 30 hari.
Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: "Berpuasalah dengan melihatnya (anak bulan ramadhan) dan berbukalah dengan melihatnya (anak bulan syawal). Sekiranya terlindung daripada kamu (melihat anak bulan) maka genapkanlah bilangan Sya'ban 30 hari". [Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim]
?
Apakah hukum perbezaan terbit anak bulan di negera-negara Islam?
Sekiranya anak bulan dilihat di sebuah kawasan atau negeri maka hukum permulaan Ramadhan menjadi umum meliputi negeri-negeri yang berdekatan dengannya (yang berada pada mattholi' yang sama) walaupun anak bulan tidak kelihatan di negeri-negeri yang berdekatan tadi. Maka negeri-negeri yang berdekatan seperti ini boleh memulakan puasa apabila anak bulan kelihatan di salah satu dari negeri tersebut.
Akan tetapi sekiranya sesebuah negeri itu berjauhan dengan negeri yang lain (berbeza matholi' - iaitu tempat terbit matahari), maka negeri yang melihat anak bulan akan berpuasa, dan negeri yang tidak melihat anak bulan tidak boleh mengikut negeri yang melihat anak bulan tadi.
Ada sebahagian ulama mensyaratkan bahawa sekiranya kedua buah negeri yang berjauhan kedudukannya mencapai jaraksafar qasar (iaitu dua marhalah atau 80 kilometer) maka kedua negeri itu tidak boleh mengikut antara satu sama lain dalam menentukan permulaan anak bulan, sebaliknya kedua negeri yang dihukumkan berjauhan ini hendaklah membuat kiraan sendiri. Sekiranya jarak antara dua negeri itu kurang dari jarak safar qasar, maka mereka boleh saling mengikuti antara satu sama lain dalam melihat anak bulan. Akan tetapi pandangan yang mensyaratkan jarak safar qasar ini adalah pandangan yang lemah sepertimana yang disebut oleh Imam Nawawi.
?
Siapakah yang diterima syahadahnya di dalam menentukan penglihatan anak bulan ramadhan?
Penentuan permulaan awal Ramadhan diterima dari syahadah (penyaksian) seorang lelaki yang adil (tidak fasiq), merdeka dan seorang yang mukallaf (iaitu mencapai usia baligh). Apabila? di dalam sebuah negeri hanya ada seorang lelaki sahaja yang melihat anak bulan dan lelaki tadi mencukupi syarat yang disebutkan di atas, maka penyaksiannya diterima dalam menentukan permulaan Ramadhan.
Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas di mana seorang pemuda telah datang kepada Rasulullah s.a.w dan beliau berkata: "aku telah melihat anak bulan, iaitu Ramadhan", Rasulullah s.a.w bertanya: "adakah kamu bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah", beliau menjawab: "ya", Rasulullah s.a.w bertanya lagi: "adakah kamu bersaksi bahawa Muhammad itu pesuruh Allah", beliau berkata: "ya", maka Rasulullah s.a.w pun bersabda: "wahai Bilal, umumkan kepada manusia agar berpuasa esok hari". Di dalam hadis ini menunjukkan bahawa Rasulullah s.a.w menerima syahadah (penyaksian) permulaan Ramadhan dari seorang lelaki sahaja.
Akan tetapi hukum ini berbeza dengan penentuan permulaan awal bulan-bulan yang lain dimana disyaratkan penyaksian dua orang saksi (lelaki, adil, merdeka dan mukallaf). Sekiranya? di dalam sebuah negeri hanya ada seorang sahaja saksi yang melihat anak bulan Syawal maka penyaksiannya tidak diterima, dan pada ketika itu permulaan syawal ditentukan dengan melengkapkan bilangan Ramadhan 30 hari. Ini berdasarkan sebuah hadis (athar) daripada Saidina Umar bahawa beliau berkata: "Janganlah kamu berbuka (berhenti berpuasa) sehinggalah datang dua orang saksi menyaksikan bahawa mereka melihat anak bulan pada malam hari semalam".
Perbezaan hukum ini juga diasaskan kepada prinsip ihtiyat (berhati-hati) ketika memulakan ibadat dan ihtiyat ketika keluar dari ibadat.
?
Bagaimana menentukan awal Ramadhan bagi seseorang yang ditawan atau berada di kawasan yang tidak dihuni dan seumpamanya?
Sekiranya seseorang itu ditawan atau berada di kawasan yang tidak dihuni manusia, maka wajib ke atasnya berijtihad dalam menentukan bulan Ramadhan dan wajib baginya berpuasa mengikut ijtihad yang dilakukannya.
Apabila beliau dibebaskan atau berhijrah ke kawasan yang dihuni dan mendapati bahawa puasa yang dilakukannya itu bertepatan dengan ramadhan atau dilakukan selepas berlalu Ramadhan, maka puasanya itu dikira sah.
Akan tetapi sebaliknya sekiranya dia mendapati puasanya tersebut dilakukan sebelum memasuki bulan Ramadhan, puasanya menjadi tidak sah dan wajib ke atasnya menggantikan puasa tersebut.
?
Apakah syarat sah puasa?
Syarat sah puasa adalah:
1)Niat. Ini berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w: " Sesungguhnya setiap perbuatan itu mestilah (didahulukan) dengan niat".
2) Menahan diri dan makan dan minum? serta perkara yang membatalkan puasa dari fajar sehingga maghrib
Firman Allah s.w.t di dalam surah al-Baqarah (187): "makanlah dan minumlah sehingga menjadi jelas kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam (kegelapan malam) dari fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa sehingga malam. Dan janganlah kamu menyetubuhi isterimu sedang kamu beri'tikaf di dalam masjid".
?
?
Bagaimanakah melaksanakan niat puasa?
Niat puasa Ramadhan mestilah dilakukan setiap malam hari Ramadhan (bermula dari terbenam matahari sehinggalah fajar). Ini berdasarkan sabda Rasulullah s.w.t di dalam sebuah hadis: "Barang siapa yang tidak memasang niat puasa sebelum fajar, maka tidak dikira puasanya".
Diwajibkan juga bagi seseorang itu menetapkan jenis puasa yang ingin dilakukan. Sekiranya seseorang itu ingin melakukan puasa Ramadhan, maka dia hendaklah menetapkan niat 'puasa Ramadhan' di dalam hatinya bagi membezakan puasa tersebut dari puasa-puasa yang lain. Contoh niat adalah seperti berikut: "sesungguhnya aku berniat untuk melakukan puasa pada esok hari, bagi melaksanakan ibadat puasa Ramadhan tahun ini kerana Allah s.w.t".
Diwajibkan juga bagi seseorang yang ingin memulakan puasa hari pertama Ramadhan, mengetahui masuknya bulan Ramadhan dengan yakin (sama ada mendengar berita dari orang yang melihat anak bulan atau dia melihatnya sendiri).
Oleh itu sekiranya seseorang itu tidak mengetahui adakah esok bermula Ramadhan atau tidak, kemudian dia berniat puasa Ramadhan esok hari, maka tidak sah niatnya. Ini kerana niatnya tersebut tidak didahului dengan keyakinan bermulanya Ramadhan pada esok hari. Begitu juga sekiranya beliau berniat: "sekiranya esok Ramadhan, maka aku akan berpuasa dan sekiranya tidak, aku tidak akan berpuasa", maka tidak sah niatnya.
Akan tetapi sekiranya seseorang itu berada pada malam ke 30 Ramadhan dan dia tidak mengetahui adakah esok bermula Syawal atau tidak, lalu dia berniat: "sekiranya esok Ramadhan (hari ke 30) maka aku akan berpuasa dan sekiranya esok bermula Syawal maka aku akan berbuka", maka niat puasanya dikira sah sekiranya selepas terbit fajar dia mengetahui bahawa hari tersebut adalah hari ke 30 bulan Ramadhan. [Tanwir masalik: 1/513]
?
Apakah perkara yang membatalkan puasa?
Dhobit perkara yang membatalkan puasa ialah:
1) Memasukkan sesuatu benda ke dalam rongga yang terbuka (hidung, mulut, telinga) sehingga ke dalam badan.
2) Atau bersetubuh
3) Atau mengeluarkan air mani secara sengaja
Puasa seseorang itu menjadi batal sekiranya melakukan salah satu dari perkara di atas dalam keadaan dia mengetahui tentang haramnya perkara tersebut dan dia tidak lupa bahawa dia sedang berpuasa. Sekiranya dia melakukan salah satu dari 3 perkara di atas dalam keadaan dia tidak mengetahui bahawa ianya membatalkan puasa, atau dia lupa bahawa dia sedang berpuasa, maka puasanya tidak batal.
Oleh yang demikian, batal puasa seseorang sekiranya melakukan semua perkara dibawah secara sengaja dan mengetahui haramnya perkara tersebut:
1- Makan dan minum
2- Memasukkan ubat ke dalam rongga hidung,
3- Memasukkan sesuatu ke dua lubang dubur dan qubul (kemaluan depan dan belakang) melebihi bahagian yang kelihatan ketika duduk mencangkung.
4- Memasukkan air ke dalam telinga sehingga masuk ke dalam bahagian dalam kepala.
5-Sengaja memuntahkan dirinya. Sekiranya dia muntah secara terpaksa, maka tidak batal.
6- Bersetubuh atau mengeluarkan air mani secara sengaja dengan mubasyarah isteri sebagai contoh. Sekira air maninya keluar kerana bermimpi, atau berfikir atau melihat sesuatu sehingga keluar air maninya, maka tidak batal puasanya.
7-Berlebih-lebihan ketika berkumur sehingga masuk air ke dalam rongga dalam mulut. Sekiranya air tersebut masuk ke dalam 'rongga dalam' mulut dalam keadaan dia tidak berlebih-lebihan ketika berkumur, maka tidak batal puasanya.
8-Berlebih-lebihan ketika istinsyak (memasukkan air ke hidung) sehingga masuk ke rongga dalam hidung. Sekiranya air tersebut masuk ke dalam 'rongga dalam' hidung mulut dalam keadaan dia tidak berlebih-lebihan ketika istinsyak, maka tidak batal puasanya.
9-Menelan air liur yang telah keluar dari mulut (seperti seseorang yang sedang memintal benang dengan membasahkan benang tersebut dengan memasukkannya ke dalam mulut, lalu ditarik benang itu keluar dan kemudian dimasukkan balik benang tersebut ke dalam mulut sekali lagi. Kemudiannya ditelan air liur yang ada pada benang tersebut, maka batal puasanya. Ini kerana air liur yang ditelannya itu telah terkeluar dari mulut tatkala dia menarik benang keluar dari mulutnya).
10-Menelan air liur yang telah terkena najis (apabila mulut seseorang itu berdarah, kemudian dia meludah keluar darah tersebut sehingga hilang kesan darah tadi tanpa mencuci mulutnya, kemudian dia menelan bagi air liurnya, maka batal puasanya. Ini kerana mulutnya tersebut masih bernajis walaupun sudah tiada kesan darah, kerana dia tidak mencuci mulutnya dengan air. Ketika dia menelan air liur yang berbaki di dalam mulut selepas itu, dia telah menelan air liur yang bercampur dengan najis).
11-Menelan kahak (yang keluar dari dada atau kepala) yang memasuki rongga mulut, dalam keadaan dia mampu untuk membuangnya keluar.
12-Gila seketika di waktu siang hari
13-?? Pengsan sepanjang hari
Apabila puasa seseorang itu batal kerana melakukan perkara di atas dan seumpamanya (selain dari bersetubuh), maka wajib ke atasnya dua perkara:
1) Menggantikan puasa tersebut pada hari yang lain.
2)Terus menahan diri dari perkara yang membatalkan puasa sehingga maghrib (dia tidak boleh makan atau minum walaupun selepas puasanya batal).
Sekiranya seseorang itu bersetubuh pada siang hari di bulan Ramadhan dalam keadaan dia berpuasa serta mengetahui haramnya perkara tersebut dan tidak lupa puasa yang dilakukan, maka wajib ke atasnya perkara berikut:
1)Menggantikan puasa tersebut pada hari yang lain
2)Terus menahan diri dari perkara yang membatalkan puasa sehingga maghrib (dia tidak boleh makan atau minum walaupun selepas puasanya batal).
3) Menunaikan kafarah jimak iaitu salah satu dari perkara di bawah secara tertib (untuk suami sahaja):
a. Membebaskan hamba muslim yang tidak mempunyai kecacatan yang menghalang dari bekerja. Sekiranya tidak dijumpai (sepertimana yang berlaku pada hari ini), maka wajib ke atasnya:
b. Berpuasa 2 bulan berturut-turut. Sekiranya terputus puasa 2 bulan tersebut walaupn dengan satu hari (tidak berpuasa padanya), maka hendaklah dia memulakan semula puasa 2 bulan tersebut sekali lagi dari awal. Sekiranya dia tidak mampu melakukan perkara tersebut, maka dia hendaklah:
c. Memberi makan 60 orang miskin. Sekiranya dia tidak mampu juga, maka tuntutan salah satu dari 3 perkara di atas kekal di atas zimmahnya dan tidak gugur sehinggalah dia melaksanakan salah satu dari perkara di atas mengikut tertib.
Hukum ini diambil berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa beliau berkata: "tatkala kami sedang duduk bersama Rasulullah s.a.w, datang seorang pemuda berkata: " wahai Rasulullah, aku telah binasa". Rasulullah bertanya: "apa yang telah berlaku?", pemuda itu menjawab: "aku telah bersetubuh dengan isteriku dalam keadaan aku berpuasa (di bulan Ramadhan), Rasulullah bertanya: "adakah kamu mampu untuk membebaskan hamba?", beliau berkata: "tidak", Rasulullah bertanya lagi: "adakah kamu mampu untuk berpuasa 2 bulan berturut-turut?", beliau berkata: "tidak", Rasulullah bertanya lagi: "adakah kamu mampu memberi makan 60 orang miskin?", beliau menjawab: "tidak". Rasullah s.a.w berdiam seketika. Selepas itu Rasulullah datang membawa sebuah mangkuk yang berisi tamar (kurma) lalu baginda berkata: "dimanakah pemuda yang bertanya tadi?", pemuda tadi menjawab: "saya", maka Rasulullah berkata: "ambil makanan ini dan sedekahkan ia (kepada faqir miskin)". Pemuda tadi berkata: "adakah (aku bersedekah) kepada orang yang lebih faqir dariku wahai Rasulullah? Demi Allah tidak (di dalam madinah ini) keluarga yang lebih miskin dari keluargaku. Lalu Rasulullah s.a.w tertawa sehingga kelihatan gigi hadapan (taring) kemudian baginda bersaba: "berilah makan (makanan ini kepada) keluargamu". [ hadis diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim].
Kafarah jimak ini tidak wajib kepada orang yang bersetubuh ketika berpuasa selain dari bulan Ramadhan, atau berpuasa qadha Ramadhan.
Sekiranya seseorang itu melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasanya dalam keadaan dia:
1)Lupa bahawa dia sedang berpuasa
2)Tidak tahu bahawa perkara tersebut membatalkan puasa
3) Dipaksa oleh seseorang untuk melakukannya
Maka tidak batal puasanya.
Begitu juga, tidak batal puasa orang yang melakukan perkara dibawah:
1)Menelan air liur yang bercampur dengan baki makanan di celah gigi dalam keadaan dia tidak dapat meludahnya keluar dan selepas dia berusaha mengeluarkan baki makanan tersebut dengan memberus gigi atau bersiwak.
2) Mengumpul air liur di dalam mulut sebelum menelannya, dengan syarat air liur itu tidak bercampur dengan sesuatu.
3)Tidur sepanjang hari (fajar hingga maghrib)
4)Pengsan di kebanyakan waktu puasa, seperti seorang yang pengsan dari awal fajar dan sedar sebelum masuk waktu magrib, maka tidak batal puasanya.
Sekiranya seseorang itu makan dengan menyangka belum terbit fajar, kemudian selepas terbit fajar (secara hakiki) dia mengetahui bahawa ketika dia makan tadi fajar telah terbit, maka batal puasanya dan wajib baginya menggantikan puasa tersebut.
Sekiranya seseorang itu makan dengan menyangka belum terbit fajar, kemudian sebelum terbit fajar (secara hakiki) dia tidak mengetahui adakah ketika dia makan tadi fajar telah terbit, maka tidak batal puasanya.
Sekiranya seseorang itu makan dalam keadaan dia mengangka bahawa telah masuk waktu maghrib, kemudian selepasmaghrib telah bermula (secara yakin) dia mendapati maghrib tidak masuk lagi ketika dia makan tadi, maka batal puasanya dan wajib baginya menggantikan puasa tersebut.
Sekiranya seseorang itu makan dalam keadaan dia mengangka bahawa telah masuk waktu maghrib, kemudian? sebelummaghrib benar-benar bermula (secara yakin) dia mendapati bahawa ketika dia makan tadi waktu maghrib belum bermula, wajib baginya imsak dan puasanya tidak batal.
?

No comments:

Post a Comment